Entah kenapa tiba-tiba ada satu perasaan menular di jiwa. Ingin sekali aku menggarap sebuah luahan. Mungkin tumpahannya kelak menyejukkan diri seadanya namun apakah pasti ianya terjadi? Entah kenapa jua hati ini sering berkata-kata. Bukan kerana marah dan rasanya bukan jua kerana dendam cuma.....apa ya ingin aku nyatakan di sini? Oh ya, cuma ini caraku yang asli. Ragam perasaan yang sering ku ikuti. Satu bingkisan dari hati.
Goresan Tinta.
Tarian mata pena mencatat seribu makna
hamparan kertas putih cuma terpana
cuma goresan sebuah luka.
Ombak tulisan terhampar kesepian
terdampar lelah di lautan helaian
apakah ada yang terkilan kata
dek luahan dan makna setitik warna cinta.
Corak-corak menari riang
pantas tuntas di kanvas usang
tirai kehidupan berlabuh tenang
menamatkan pengakhiran satu pentas wayang.
Mainan seadanya pasti membara
gayutan perasaan terus nyata
apakah ini sebenarnya nada?
adakah ini noktah irama?
Berlalunya goresan tinta
menepis tohmahan segala
teratak bonda menggamit rasa
menumpang diri menguak minda
menitip salam menyulam bahasa
padamkan amarah hindarkan alpa
sentapkan rindu kilasan jiwa
layarkan tinta utuhkan bangsa!
-adz